Latar belakang Rampasan kuasa 17 Mei

Pada 26 Oktober 1979, Presiden Park Chung-hee telah dibunuh oleh ketua Agensi Perisikan Pusat Korea (KCIA). Di bawah Park Chung-hee, Korea Selatan adalah sebuah negara yang tidak demokratik dan juga bersifat autokratik.[4] Selepas pembunuhannya, Korea Selatan memasuki keadaan peralihan, dengan percubaan dibuat untuk mengubah Korea Selatan menjadi sebuah negara demokrasi. Walaupun begitu, Perlembagaan Yushin tidak dimansuhkan dan pemerintahan tentera dan autoritarian masih kekal.

Choi Kyu-hah, yang merupakan perdana menteri pada masa itu, dilantik sebagai pemangku presiden untuk menggantikan Park Chung-hee. Dengan berkuasanya Choi Kyu-hah, peraturan ketat yang berlangsung di bawah Park Chung-hee telah dimansuhkan manakala pemimpin dan aktivis pembangkang, seperti Kim Dae-jung, dibebaskan daripada sekatan. Choi Kyu-hah kemudiannya menjadi presiden rasmi Korea Selatan pada 6 Disember 1979.

Jeneral Tentera Chun Doo-hwan, ketua Komando Keselamatan Tentera, telah dilantik untuk menyiasat pembunuhan Park Chung-hee. Pada ketika ini, Chun Doo-hwan mendapat peluang untuk merampas kuasa. Chun Doo-hwan menguasai tentera Republik Korea (Tentera ROK) pada 12 Disember 1979 selepas beliau menangkap Jung Seung-hwa, ketua kakitangan tentera Korea dan komander undang-undang tentera, sebagai tambahan kepada pasukan lain yang akan mengancam cita-citanya.[5] Pada 14 Disember, dua hari selepas menguasai Tentera ROK, Chun Doo-hwan mula melantik sekutu dari Akademi Tentera Korea ke jawatan yang berkuasa dalam tentera tersebut untuk mendapatkan kawalan penuh ke atas pasukan tentera Korea Selatan. Sebagai contoh, Roh Tae-woo, yang kemudiannya akan menjadi presiden Korea Selatan, telah dilantik sebagai ketua komander Perintah Keselamatan Ibu Kota.

Chun Doo-Hwan terus mengukuhkan kuasanya pada bulan-bulan awal tahun 1980. Rakyat Korea Selatan memulakan satu siri tunjuk perasaan, yang dikenali sebagai Musim Bunga Seoul, untuk menyatakan rasa tidak puas hati mereka. Musim Bunga Seoul ialah istilah yang berasal dari Musim Bunga Prague di Czechoslovakia yang berlaku pada tahun 1968, dan merujuk kepada keinginan pembebasan demokrasi dan politik rakyat Korea Selatan. Demonstrasi daripada rakyat berlaku secara berterusan dan mencapai kemuncaknya pada pertengahan bulan Mei 1980. Tentera kemudiannya digunakan untuk menyekat pergerakan dengan menggunakan tentera bersenjata dan kenderaan berperisai. Di sebalik tindakan balas tentera, pusat Seoul penuh sesak dengan penunjuk perasaan pada 14 Mei dan lebih seratus ribu orang pelajar berkumpul di hadapan Stesen Seoul.

Rujukan

WikiPedia: Rampasan kuasa 17 Mei https://archive.today/20120712052834/http://media.... http://media.daum.net/breakingnews/view.html?catei... http://www.munhwa.com/news/view.html?no=1997041813... https://www.thoughtco.com/the-gwangju-massacre-198... https://www.nytimes.com/2017/08/02/world/asia/sout... http://www.koreaobserver.com/may-18th-1980-an-eyew... http://press-files.anu.edu.au/downloads/press/p332... https://core.ac.uk/download/pdf/35465550.pdf http://news.bbc.co.uk/2/hi/asia-pacific/752055.stm http://www.japantimes.co.jp/news/2014/05/17/asia-p...